SUDUKO SMK DANGI 2009

Tuesday, August 18, 2009

RUANGAN KREATIF DAN INOVASI SAINS SIRI 1



Zulkifli Haron cipta motor terbang

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

Saban tahun pasti ada saja rekaan terbarunya yang menggemparkan. Siapa yang tidak kenal dengan McGyver Malaysia ini yang banyak membantu orang kurang upaya (OKU), pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), warga emas dan banyak lagi. Bermula dengan kereta parkir sendiri, rumah pintar, kuasa solar, ternak ikan laut di tengah bandar, kini ikon reka cipta yang telah lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia kreativiti dan inovasi, Zulkifli Haron bakal muncul dengan rekaan hebat yang menggemparkan masyarakat. Apa yang bakal dihasilkan mungkin tidak pernah difikirkan oleh sesiapa atau mungkin ada yang mengatakan kerja gila. Jika dulu beliau bermula dengan rekaan kereta berjalan tanpa pemandu dan kenderaan boleh parkir sendiri yang dikatakan idea gila suatu masa dulu. Tetapi kini, idea dan ciptaan Zulkifli mula dilihat pada kereta-kereta import dan mewah. Sehinggakan kedainya di Rawang, Selangor penuh dengan kuih muih menjelang Hari Raya Aidilfitri sebagai tanda terima kasih atas bantuannya memudahkan pengeluaran kuih tradisional. Biarpun penuh dengan cabaran, galakan dan cemuhan, idea Zulkifli terus berputik dan berbunga dengan rekaan yang lebih sukar diterima akal. "Kali ini saya sedang dalam usaha mencipta satu kenderaan iaitu motor terbang atau nama komersialnya Motobunn. ''Walaupun Motobunn yang masih dalam peringkat kajian satu protaip berjaya dihasilkan," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Rawang, Selangor. Zulkifli berkata, idea mencipta Motobunn timbul ekoran beliau mahukan sesuatu yang baru dalam rekaannya. "Jadi saya inginkan sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh sesiapa tetapi boleh dilakukan," tegas beliau. Zulkifli berkata, sebagai pereka yang dikenali ramai beliau sentiasa mencari sesuatu yang baru untuk diketengahkan. Motobunn yang direka bukan tujuan untuk pengangkutan tetapi lebih kepada tujuan keselamatan dan menyelamat semasa berlakunya bencana. "Kenderaan ini boleh digunakan semasa banjir, kebakaran di atas bangunan, runtuhan bangunan, kapal terbang atau helikopter terhempas di kawasan sempit dan kerja menyelamat serta pemantauan di kawasan kecil. "Penggunaan Motobunn amat berguna bagi pemantauan di kawasan kecil kerana tidak memerlukan kawasan pendaratan yang besar seperti helikopter," katanya. Buat masa ini, bagi tujuan kajian, Motobunn menggunakan tenaga elektrik dan pada masa hadapan menggunakan bateri titanium ion yang lebih ringan dan berkuasa. Motobunn menggunakan konsep graviti sama seperti payung terjun tetapi mempunyai dua buah motor enjin berkelajuan tinggi. Buat masa ini beliau telah berjaya menghasilkan Motobunn dengan berat 30 kilogram (kg) dengan daya tujahan sehingga 120 kg. "Saya akan cuba mengurangkan berat motor sehingga 25 kg bagi membolehkan pengguna membawa muatan ringan seperti kamera atau alatan penyelamat. "Motobunn dibina untuk membawa penumpang dengan berat purata rakyat Malaysia iaitu 45 hingga 55 kg bagi tujuan bantuan menyelamat seperti memberikan tali kepada mangsa," katanya. Walaupun masih dalam pembinaan, Zulkifli amat memerlukan komen orang ramai mengenai Motobunn yang sedang dibangunkan. "Saya amat memerlukan maklum balas dan kritikan orang ramai bagi memperbaiki rekaan-rekaan saya," katanya yang tidak lokek ilmu. Operasi Zull Design mendapat dana daripada pelbagai agensi selain menggunakan 40 peratus hasil perniagaan untuk meluaskan lagi ciptaannya.
Sesiapa yang berhasrat memberikan komen, kritikan atau maklum balas mengenai rekaan Zulkifli boleh menghantarnya ke mail@zulldesign.com.my. Mereka juga boleh mendapatkan maklumat mengenai Zull Design di laman web http://www.zulldesign.com.my/

No comments:

Post a Comment