SUDUKO SMK DANGI 2009

Showing posts with label Norazizah Mansor - Panitia Sains. Show all posts
Showing posts with label Norazizah Mansor - Panitia Sains. Show all posts

Sunday, October 11, 2009

SIRI PANDUAN KESIHATAN


Kombinasi rawatan moden, tradisional
Oleh ZUHAYATI YAZID

BERSANTAI merehatkan badan di spa menjadi satu keperluan dominan pada masa kini khususnya bagi warga kota yang sememangnya sibuk seharian dengan pelbagai tugasan.
Kadang kala kehidupan yang semakin mencabar membebankan fikiran dan diselubungi tekanan yang meletihkan. Apabila ini berlaku, tidak salah sekiranya meluangkan sedikit masa untuk membelai dan memanjakan tubuh yang telah dikerah bekerja sepanjang minggu.

Menawarkan hanya yang terbaik daripada ahli terapi yang betul-betul berpengalaman dan berkelayakan, kini St. Gregory di Hotel Park Royal Kuala Lumpur tampil dengan pengalaman rawatan spa yang menenangkan. Kombinasi kaedah rawatan tradisional dan juga moden, spa ini merupakan lokasi terbaik untuk lari seketika daripada kesibukan kota.

Dengan keluasan 1,881 kaki persegi, St. Gregory Spa menampilkan persekitaran eksklusif dan mewah, hasil kombinasi mantap hiasan dalaman serta seni bina kontemporari. Lebih menarik, spa yang dilengkapi dengan lima bilik terapi, dua bilik terapi Jepun yang dikenali 'Mu Tong' serta sebuah bilik urutan kaki, turut menawarkan khidmat lain seperti rawatan muka, urut, rawatan lulur, mandian garam dan penjagaan kesihatan lain. Salah satu pakej menarik dan ringkas di spa ini adalah urutan badan yang direka khas untuk menghilangkan sakit badan, ketegangan, masalah sendi otot serta tekanan badan.

Satu kombinasi untuk mengembalikan kecergasan badan dan minda, rawatan ini dimulakan dengan spa kaki aroma selama setengah jam dan diikuti pula dengan urutan menghilangkan tekanan ke seluruh badan.
Sumber: Utusan Online

Sunday, October 4, 2009

SIRI PANDUAN KESIHATAN


Buta kerana glaukoma

ANTARA masalah mata yang kerap berlaku kepada individu berumur ialah glaukoma. Glaukoma ialah penyakit mata yang menyebabkan tekanan mata meningkat dengan tinggi dan mengakibatkan kerosakan pada saraf mata. Glaukoma yang tidak dirawat akan menyebabkan kebutaan. Glaukoma dibahagi kepada dua jenis, iaitu glaukoma akut dan kronik.

Glaukoma akut
1. Menyebabkan kesakitan yang amat sangat dan boleh membawa kepada kehilangan penglihatan. Untuk mengelak masalah ini, glaukoma perlu dirawat dengan segera sebaik sahaja dikesan.

Glaukoma kronik
1. Berbeza dengan glaukoma akut, jenis ini tidak menyebabkan rasa sakit, tetapi boleh menyebabkan kebutaan secara perlahan-lahan. Biasanya glaukoma kronik berlaku kepada golongan berumur 50 tahun ke atas.
Sebagai contoh, seorang pesakit akan mengalami kekaburan mata secara perlahan-lahan dan sering menukar cermin mata membaca, tetapi masih tidak dapat melihat dengan jelas.
Pemeriksaan mata akan menunjukkan tekanan matanya tinggi dan medan penglihatannya terganggu. Ini disebabkan tekanan mata tinggi yang merosakkan sebahagian saraf optik.

Gejala
Gejala yang dialami pesakit glaukoma akut ialah kemerahan pada mata. Glaukoma akut senang dikesan kerana rasa sakit yang amat sangat, selain mata menjadi merah. Masalah glaukoma kronik pula selalunya berlaku tanpa dikesan kerana ia tiada tanda yang jelas. Kadang kala, penglihatan pesakit menjadi kabur. Pesakit selalunya akan kerap menukar cermin mata untuk membaca, tetapi masih berasa tidak selesa.

Seorang pesakit glaukoma juga mungkin mengalami sakit kepala yang amat sangat dan muntah.
Mata pesakit turut menjadi merah dan sakit dan tidak dapat melihat dengan jelas. Bagaimanapun, pesakit boleh melihat dengan baik selepas mendapatkan rawatan.

Buta
Tekanan mata yang tinggi akan memberikan tekanan pada saraf optik di dalam mata. Ini mengakibatkan gangguan kepada peredaran darah ke saraf optik. Saraf optik penting untuk menyampaikan cahaya yang diserap mata ke otak untuk membolehkan manusia melihat.

Oleh itu, jika saraf mata rosak, pesakit glaukoma akan menjadi buta. Lazimnya glaukoma mudah dihidapi golongan berumur lebih 45 tahun. Bagaimanapun, glaukoma juga boleh berlaku di kalangan golongan muda, terutamanya mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit glaukoma. Glaukoma juga boleh berlaku di kalangan kanak-kanak, termasuk bayi yang baru lahir. Namun, penyakit ini biasanya berlaku selepas kanak-kanak berkenaan berumur beberapa tahun.

Faktor
Faktor keturunan sememangnya berkait rapat dan mempengaruhi kebarangkalian seseorang itu menghidap glaukoma. Jika ada ahli keluarga anda pernah menghidap glaukoma jenis kronik, ahli keluarga lain juga harus disaring lebih awal. Gejala glaukoma di kalangan bayi baru lahir dapat dilihat dengan kewujudan lapisan kornea atau mata hitam yang tidak jernih seperti mata bayi biasa.

Saiz mata juga mungkin membesar kerana tekanan mata meningkat di dalam mata. Kanak-kanak berumur beberapa tahun pula mungkin mengalami gejala silau dan kadang kala membenamkan muka ke bantal untuk mengelak mata terkena cahaya. Perlu difahami bahawa glaukoma masih boleh dirawat dengan pelbagai jenis ubat titis yang mudah digunakan dan mempunyai kesan sampingan minimum.

Jika tekanan mata tidak dapat dipulihkan dengan ubat titis, pembedahan harus dilakukan.

Saturday, September 19, 2009

SIRI PANDUAN KESIHATAN

Sakit dada – sila ambil peduli

PERNAHKAH anda sakit dada? Adakah ia teramat sakit sehingga anda tidak mampu untuk bernafas atau bergerak? Bagaimanakah perasaan anda sewaktu mengalami sakit dada?
Apakah yang anda lakukan bagi mengurangkan kesakitan dada anda? Adakah anda panik pada ketika itu? Adakah anda terfikir bahawa apa yang anda alami ketika ini ialah serangan jantung atau penyakit jantung koronari? Sebahagian daripada kita lebih mengenalinya sebagai heart attack.

Pernahkah seseorang mengadu sakit dada kepada anda? Apakah tindakan segera anda?
Simptom sakit dada adalah di antara sebab utama pesakit datang ke hospital (Jabatan Kecemasan) untuk mendapatkan rawatan.

Di Jabatan Kecemasan, pesakit yang mengadu sakit dada kemungkinan dikategorikan sebagai pesakit zon merah atau zon kuning bergantung kepada tahap teruknya kesakitan yang dialami.
Pesakit zon merah dianggap pesakit kritikal sementara pesakit zon kuning dianggap separuh kritikal.

Ini menunjukkan sakit dada adalah simptom atau penyakit yang serius dan mempunyai potensi menjadi bertambah teruk atau menyebabkan kematian. Doktor akan memeriksa dan merawat pesakit kategori ini dengan segera.
Kategori
Secara mudah, punca sakit dada dibahagikan kepada 2 kategori:
1) kardio-pulmonari (jantung dan paru-paru)
2) bukan kardio-pulmonari (berpunca daripada otot dada, salur penghadaman dan lain-lain).

Sakit dada berpunca daripada masalah kardio-pulmonari adalah lebih serius. Kegagalan untuk mengenal pasti perkara tersebut boleh mengakibatkan organ jantung gagal berfungsi atau berlakunya kematian mengejut.

Oleh itu, telah menjadi kewajipan bagi seorang doktor untuk memastikan bahawa sakit dada anda bukannya berpunca daripada masalah jantung atau secara khususnya bukan berpunca dari penyakit jantung koronari. Bila seseorang mengalami sakit dada atau mati mengejut, kebarangkalian besar ia berpunca daripada penyakit kardiovaskular atau jantung. Ia diterjemahkan sedemikian berdasarkan statistik punca utama kematian dan kemasukan hospital di Malaysia dan di dunia.

Kebarangkalian mendapat serangan jantung adalah lebih tinggi sekiranya pesakit sudah disahkan oleh doktor mempunyai masalah jantung atau mempunyai faktor-faktor risiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung koronari.

Punca sakit dada disebabkan oleh penyakit kardio-pulmonari yang serius melibatkan:
1. Penyakit jantung koronari atau serangan jantung (heart attack)
2. Salur darah utama terkoyak (aortic dissection)
3. Keradangan jantung (pericarditis/myocarditis)
4. Pendarahan dalam jantung dan paru-paru (cardiac tamponade/hemothorax)
5. Kegagalan fungsi paru-paru (pneumothorax atau pulmonary embolism)

Penyakit jantung koronari secara amnya disebabkan oleh pengurangan atau tiada aliran darah yang membawa oksigen ke jantung.
Tanpa oksigen yang cukup, otot jantung akan cedera atau mati. Jantung yang cedera atau mati mengakibatkan kematian melalui tiga cara:
1) Kematian mengejut disebabkan oleh rentak jantung yang tidak normal
2) Kegagalan otot jantung mengepam darah ke seluruh tubuh badan
3) Kegagalan mekanikal disebabkan injap rosak atau dinding jantung terkoyak.

Kajian kes kematian akibat penyakit jantung koronari di Amerika Syarikat (AS) pada 1994 menunjukkan 52 peratus pesakit meninggal dunia di tempat kejadian, lapan peratus meninggal dunia dalam jangka masa 24 jam, 19 peratus meninggal dunia dalam jangka masa 48 jam dan 21 peratus lagi meninggal dunia dalam jangka masa 30 hari. Apa yang dapat disimpulkan kadar kematian penyakit jantung koronari adalah tinggi dan kebanyakan daripada mangsa meninggal dunia sebelum sempat sampai ke hospital.

Andai di AS yang terkenal dengan tahap pendidikan dan kemudahan kesihatan yang tinggi dan canggih, apakah kebarangkalian kematian pesakit jantung koronari di negara kita sebelum tiba di hospital?

Ada beberapa postulasi kenapa kadar kematian di luar hospital adalah tinggi. Di antaranya ialah kegagalan mengenal pasti simptom sakit jantung, kelewatan meminta bantuan atau kelewatan memberi rawatan awal seperti rawatan renjatan elektrik (defibrilasi) dan resusitasi kardiopulmonari (CPR). Apakah simptom atau manifestasi awal penyakit jantung koronari? Sakit dada semasa rehat atau ketika menjalankan tugas, riadah atau aktiviti adalah antara manifestasi awal.

Ianya sakit yang teramat dan mencemaskan. Ada di antara para pesakit menyatakan ia seumpama terputus nafas atau hampir mati, dada seperti hampir pecah atau seumpama seekor gajah menghempap dada mereka. Ciri sakit dada penyakit jantung koronari termasuk ketat dada, terbakar dada, tekanan dalam dada, terbakar dalam dada, ketidakselesaan yang teramat dan cengkaman kuat di dalam dada selama lebih dua minit.

Sakit dada penyakit jantung koronari bertambah jika pesakit meneruskan aktiviti atau stres dan ianya berkurangan atau hilang bila pesakit berehat atau menggunakan ubat pengembangan salur darah (GTN) di bawah lidah. Kadang-kala sakit dada ini dapat dirasa pada bahu, leher, tekak dan tangan. Pesakit juga mungkin berasa susah hendak bernafas, berdebar, pening loya, muntah dan berpeluh. Ianya adalah suatu pengalaman yang mengerikan. Jika anda mengalami sakit dada selama lebih dari 10 minit semasa rehat, sila dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.

Sunday, September 6, 2009

SIRI PANDUAN KESIHATAN

Tulang rapuh bukan masalah wanita
Oleh Hafizah Iszahanidhafiza@bharian.com.my

Kerap bersenam, diet seimbang bantu kekalkan kesihatan tulang WALAUPUN masalah tulang rapuh kerap dikaitkan dengan wanita, sebenarnya masalah tulang rapuh cenderung menyerang mereka yang berada di pertengahan umur termasuk lelaki. Pada peringkat global, 2 juta lelaki menderita masalah tulang rapuh. Manakala di Malaysia 1 juta orang berhadapan dengan risiko yang sama. Pada 1997, kes keretakan pinggul di kalangan mereka berusia 50 tahun ke atas di Malaysia adalah 90 bagi setiap 100,000. Manakala kos perubatan membabitkan keretakan pinggul pada 1997 dianggarkan berjumlah RM22 juta.

Namun, tidak dinafikan, risiko wanita berhadapan dengan tulang rapuh lebih besar berbanding lelaki. Hampir 80 peratus wanita putus haid berhadapan dengan masalah tulang rapuh kerana penghasilan estrogen menurun dengan drastik selepas menopaus. Lelaki berhadapan dengan tulang rapuh antara lima atau 10 tahun selepas wanita, kerana hormon testosterone tidak menurun secepat estrogen. Tulang rapuh menyebabkan hampir separuh daripada wanita yang berusia 50 tahun ke atas menderita patah tulang pinggul selain pergelangan tangan atau kaki. Pakar Runding Ortopedik dan Pakar Bedah Trauma, Dr Lee Joon Keong, berkata masalah tulang rapuh terjadi apabila seseorang memiliki jisim tulang yang rendah. Justeru tulangnya lemah dan mudah patah.

“Mereka mudah mengalami masalah keretakan tulang terutama tulang pinggul,” katanya. Keretakan tulang pinggul boleh menyebabkan seseorang itu tidak mampu bergerak secara normal, mereka mungkin terpaksa menggunakan kerusi roda atau hanya berbaring di katil malah meninggal dunia. Masalah tulang rapuh tidak ada simptom, ia mungkin hanya ditandai apabila seseorang itu hilang ketinggian atau menjadi bongkok. Lebih teruk, tidak ada penawar untuk masalah tulang rapuh. Apa yang ada hanyalah langkah pencegahan. Dr Lee berkata, senaman yang kerap dan diet sihat termasuk pengambilan kalsium membantu mengekalkan kesihatan tulang.

“Pengambilan kalsium dengan vitamin D misalnya boleh membantu mencegah masalah tulang rapuh,” katanya. Kalsium seperti yang diketahui adalah nutrisi penting membina dan mengekalkan kesihatan tulang dan gigi. Walaupun kalsium diketahui mengurangkan risiko tulang rapuh ia juga berperanan dalam memastikan kemantapan otot, pembekuan darah dan fungsi saraf.

Malah ada kajian yang mengaitkan kepentingan kalsium dalam mengurangkan risiko kes berulang polip pada kolon iaitu faktor yang merangsang barah kolon. Tidak mengira jantina dan usia, kalsium sebenarnya penting untuk semua orang. Selain itu senaman juga berperanan dalam mencegah masalah tulang rapuh. Senaman yang kerap membantu menguatkan tulang dengan meningkatkan densiti tulang yang membantu mengurangkan risiko tulang rapuh. Selain kurang kalsium, masalah tulang rapuh juga boleh terjadi jika anda berhadapan dengan masalah berikut:
1. Berusia 65 tahun ke atas
2. Binaan tubuh yang langsing
3. Putus haid atau menjalani pembedahan pembuangan ovari
4. Tidak bersenam
5. Merokok
6. Mengambil terlalu banyak minuman beralkohol
7. Pengambilan ubat-ubatan seperti ubat mencairkan darah.

Bagaimana mencegah masalah tulang rapuh:
1. Bersenam terutama aktiviti yang menguatkan otot
2. Mengambil vitamin D sama ada melalui diet atau pengambilan makanan tambahan
3. Mengambil kalsium secukupnya
4. Mengambil vitamin K yang boleh ditemui pada sayuran hijau

SIRI PANDUAN KESIHATAN

DOKTOR, anak saya disahkan mengalami penyakit sindrom nefrotik. Adakah penyakit ini boleh diubati? Bagaimana pula dengan pemakanannya? Adakah diet tertentu yang harus diambil?

Penyakit sindrom nefrotik ialah sejenis masalah buah pinggang yang kronik. Ia disebabkan oleh kehilangan protein yang berlebihan di dalam air kencing. Air kencing biasa tidak mengandungi bahan protein. Ini menyebabkan di sekeliling mata, muka dan kakinya bengkak. Air kencing juga nampak kotor, berbuih dan berkurangan. Penyakit ini boleh diubati dengan rawatan steroid. Jika tidak ada kes berulang dalam masa lima tahun, peluang untuk kes tidak berulang sehingga dewasa adalah lebih tinggi. Pemakanan kanak-kanak yang menghidap penyakit ini sama seperti kanak-kanak biasa. Kurangkan pengambilan garam dalam makanannya terutama makanan ringan dan makanan yang diproses. Lebihkan mengambil makanan yang tinggi kandungan protein.

Seorang anak saudara saya menghidapi penyakit sawan sejak umur enam bulan. Dia diserang sawan dua kali dalam sebulan. Dia masih masih bergantung pada ubat epilepsi yang diberi oleh hospital kerajaan. Adakah cara lain untuk mengatasi masalah ini.

Mengenai masalah sawan, seperti yang diketahui, penyakit sawan ialah sejenis penyakit kronik yang memerlukan rawatan jangka panjang. Ia terjadi disebabkan gangguan pada arus elektrik dalam otak iaitu manifestasi yang terjadi bergantung pada bahagian saraf otak yang terbabit.
Sekiranya menjejaskan keseluruhan bahagian otak, ia akan menyebabkan grand mal epilepsi. Sekiranya anak saudara masih mendapat sawan walaupun mengambil ubat sawan secara berterusan, beberapa perkara perlu dikaji semula sama ada:
1. Dos ubat yang diambil mencukupi,
2. Ubat yang diberi bersesuaian untuk jenis sawan yang dihidapi dan,
3. Perlu penambahan ubat yang lain atau tidak.

Tujuan utama rawatan penyakit sawan ialah memastikan pesakit tidak lagi diserang sawan dan dapat menjalani kehidupan dengan normal. Sekiranya tiada diserang sawan selama dua tahun dan ujian ulangan EEG adalah normal, ubat sawan mungkin boleh diberhentikan. Secara amnya, kanak-kanak yang menghidap sawan mempunyai IQ yang lebih rendah dan mengalami masalah dalam membaca, mengeja dan mengira. Ini mungkin disebabkan oleh kerosakan pada bahagian otak yang menyebabkan sawan. Sesetengah ubat sawan juga boleh menyebabkan anak kurang cergas dan hilang tumpuan ketika belajar.

Tuesday, September 1, 2009

RUANGAN KREATIF DAN INOVASI SAINS SIRI 4

Industri kreatif memerlukan ketekunan dan kesabaran dalam menyiapkan produk akhir.

Pencarian bakat baru industri kreatif

TERJEMAHAN dunia kreatif digital sebenarnya sangat luas merangkumi kandungan produksi untuk televisyen, Internet, radio, filem dan juga telefon bimbit. Secara asasnya, pembangunan industri tersebut bergantung kepada kreativiti individu dalam menghasilkan kandungan media bagi keperluan penyiaran, multimedia serta komunikasi. Melihat kepada potensinya yang mampu memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan telah menjalankan pelbagai inisiatif pembangunan di peringkat nasional.
Antaranya seperti menjalinkan kerjasama dan perkongsian pengetahuan dengan beberapa agensi swasta, pembekal teknologi serta pengamal media. Usaha itu dijalankan bertujuan untuk memperluaskan skop industri berkenaan agar dapat terus bersaing di peringkat global. Salah satu program galakan yang dipacu menerusi kerjasama dengan syarikat penyiaran Astro adalah Anugerah Usahawan Kandungan Generasi Baru (NCA 2009). Program yang dianjurkan untuk tahun kedua itu merupakan inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kebangsaan. Ia telah mendapat sokongan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC). Menerusinya, tumpuan diberikan kepada penyertaan golongan muda terutamanya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menonjolkan kreativiti masing-masing melalui kaedah ekspresi inovatif.
Menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertainment, Zainir Aminullah, NCA merupakan platform terbaik mencabar golongan belia supaya berani menyerlahkan kreativiti mereka dalam industri kandungan kreatif.
''Kemajuan dan perkembangan industri ini sebenarnya bergantung kepada bakat kreatif sama ada secara teknikal atau melalui perisian.
''Astro sebagai pemain media sangat memerlukan bakat-bakat ini untuk melengkapkan kumpulan kerja televisyen, kandungan, produksi dan juga digital,'' katanya ketika di temui di pejabatnya di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Dalam usaha memastikan perkembangan dinamik industri berkenaan, ia bergantung kepada kejayaan industri secara menyeluruh. Justeru melalui program tersebut, ia secara tidak langsung dapat mendedahkan para pengusaha dan juga usahawan industri dengan pelbagai komponen sokongan agar mereka dapat bergerak secara komersial dan lebih serius.
''Melalui NCA 2009, pendekatan yang cuba ditampilkan adalah untuk memastikan pembangunan industri kreatif diperluaskan dari pelbagai perspektif seperti animasi, komedi, muzik video dan juga dokumentari,'' jelasnya.