SUDUKO SMK DANGI 2009

Saturday, August 22, 2009

RUANGAN KREATIF DAN INOVASI SAINS SIRI 2

Bakat kreativiti pelajar mencipta roket

Menyemai bakat kreativiti pelajar sekolah dalam bidang sains bukan satu perkara mudah.
Apatah lagi bidang sains tersebut agak rumit, bersifat terlalu teknikal dan memerlukan formula dan hukum sains. Namun bagi peserta Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket yang dianjurkan baru-baru ini, mereka mereka berjaya membuktikan sebaliknya, malah menyerlahkan bakat sains yang menakjubkan.

Program anjuran Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dengan kerjasama Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Universiti Malaya sebagai salah satu aktiviti merentas kurikulum sekolah setiap tahun. Pertandingan tersebut terbuka kepada pelajar-pelajar berumur antara 12 dan 16 tahun di semua sekolah menengah Kementerian Pelajaran Malaysia termasuk Sekolah Menengah Agama bantuan kerajaan di seluruh negara.
Program tersebut yang memasuki tahun ketujuh sejak ia mula dilaksanakan sebagai projek perintis pada tahun 2003.

Pada mulanya, projek perintis tersebut hanya melibatkan peserta-peserta sekitar Lembah Klang (Kuala Lumpur dan Selangor) sahaja tetapi kini dibuka ke seluruh negara. Menerusi pertandingan tersebut, pelajar dikehendaki mencipta roket air yang sempurna dengan berasaskan botol minuman berkarbonat 1.5 liter dan tekanan udara agar ia dapat memininumkan daya geseran dengan gaya kreativiti yang tinggi.

Seterusnya roket air itu akan dilancarkan ke udara dengan menggunakan alat pelancar.
Pertandingan ini menguji kemahiran dan pemahaman pelajar dalam aplikasi sains dan diterjemahkan dalam penghasilan roket air.

Pada pertandingan akhir ini baru-baru ini , sebanyak 30 buah sekolah dari seluruh negara akan bersaing merebut Piala Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bersama beberapa piala iringan untuk empat kategori pertandingan. Kategori-kategori tersebut ialah reka bentuk roket air terbaik, sasaran terbaik (best target), payung terjun terbaik (best parachute) dan payload terbaik (best payload).

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusoff berkata, pada masa akan datang, penganjur digalakkan mengadakan pertandingan mereka cipta teknologi dorongan roket atau bahan apinya selain kategori sedia ada. Beliau berkata, amat penting bagi memupuk minat pelajar dalam teknologi tersebut bagi mencungkil bakat supaya mereka dapat menjadi saintis bidang tersebut. Ini kerana negara memerlukan teknologi pelancar roket selain menghasilkan roket sendiri.

''Aktiviti teknikal seperti pertandingan pelancaran roket ini amat sesuai bagi membolehkan pelajar menggunakan pengetahuan mereka dalam teori fizik dan matematik yang dipelajari di sekolah dan menterjemahkannya dalam bentuk aktiviti mencabar,'' ujarnya.

Pandangan beliau disokong oleh pensyarah matematik Universiti Malaya (UM) , Prof Dr. Mohd. Sahar Yahya, bahawa pelancaran roket tidak semestinya mengambil kira aspek kelajuan tetapi juga menggunakan kepintaran fizik dan penggunaan sudut yang sesuai.
''Kita juga mahu pelajar supaya tahu aspek keselamatan, reka bentuk dan bahan apinya,'' kata beliau.

Pertandingan pada tahun ini turut mendapat sokongan dan penajaan dari syarikat-syarikat swasta. Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket diadakan adalah bertujuan untuk mencapai objektif-objektif seperti berikut:
- Menanam minat, meningkatkan kefahaman, kemahiran dan pengetahuan komuniti pelajar dalam bidang sains dan teknologi angkasa;
- Membudayakan pelajar dengan pemikiran kreatif dan inovatif;
- Memberi landasan untuk mengaplikasikan teori dan konsep yang dipelajari dengan satu aktiviti teknikal yang boleh membantu meningkatkan fahaman mereka;
- Menjadikan bidang sains angkasa sesuatu yang mencabar dan menyeronokkan.

Juara keseluruhan bagi tahun 2009 akan mewakili Malaysia ke Asia-Pacific Space Regional Forum atau lebih dikenali APRSAF kali ke-16 dan akan diadakan di Phuket, Thailand pada Januari tahun depan.

No comments:

Post a Comment