SUDUKO SMK DANGI 2009

Wednesday, September 30, 2009

RUANGAN KREATIF DAN INOVASI SAINS SIRI 10

Malaysia bakal miliki pusat kajian tsunami

PUTRAJAYA 29 Sept. - Pusat Kajian Tsunami dan Seismik Kebangsaan (NSTRC) bakal ditubuhkan bagi meningkatkan keupayaan negara menghadapi ancaman bencana itu pada bila-bila masa. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Maximus Ongkili (gambar) berkata, pusat kajian yang akan dibangunkan dengan kerjasama tiga institut pengajian tinggi tempatan itu telah dicadangkan kepada Kabinet sebagai salah satu perancangan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

''MOSTI akan bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk membangunkan pusat kajian itu bagi menyediakan maklumat berkaitan risiko bencana alam tersebut.
''Ia turut melibatkan dua agensi kerajaan iaitu Jabatan Meteorologi dan Jabatan Mineral dan Geosains yang dikoordinasikan oleh Akademi Sains Malaysia," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Forum Risiko Gempa Bumi dan Tsunami di Malaysia di sini hari ini.
Maximus berkata, Malaysia kini bersedia menghadapi ancaman bencana alam itu dan ketika ini memasuki fasa kedua dalam membangunkan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional (SAATNM) bertaraf dunia yang dijangka siap penghujung tahun ini.
Kata beliau, SAATNM berfungsi memastikan amaran awal dapat dihebahkan kepada agensi pengurusan bencana dan orang awam di kawasan berisiko sekiranya berlaku tsunami.
''Fasa kedua ini melibatkan tiga stesen Seismik, 15 stesen pasang surut, 10 buah siren dan 14 kamera pantai.
''Keupayaan SAATNM ini turut diperkemaskan dengan pelaksanaan penyebaran maklumat tsunami melalui gerbang khidmat pesanan ringkas (SMS) serta telefon talian tetap bagi penyebaran maklumat," katanya.
Maximus berkata, kesedaran orang awam tentang fungsi sistem amaran itu di kawasan berisiko gempa bumi dan tsunami perlu dihebahkan supaya mereka tidak panik ketika sistem itu beroperasi.
''Di samping kempen kesedaran awam, latihan amal antarabangsa bagi penyebaran amaran awal tsunami dan pemindahan penduduk telah dijalankan bagi memastikan rakyat terjamin daripada risiko bencana alam itu," katanya.

No comments:

Post a Comment